Sunday 17 November 2013

Mertua, dadah antara punca kes cerai pasangan Islam tinggi

| |
0 comments
KUALA LUMPUR: Tiada persefahaman dan juga sikap tidak bertanggungjawab antara punca kadar penceraian yang tinggi di negara ini bagi pasangan Islam.

Statistik terbaru penceraian dari Januari sehingga Jun tahun ini mencatatkan sejumlah 22,162 kes manakala jumlah pasangan bercerai tahun lalu adalah sebanyak 47,779 kes.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abd Karim (gambar) berkata, kadar penceraian pasangan bukan Islam pula lebih rendah dengan 1,062 kes tahun lalu dan hanya 141 kes dari Januari hingga Mei tahun ini.

"Untuk bukan Islam penceraian adalah perkara yang 'taboo'. Jalan penyelesaian bukan penceraian kerana faktor adat istiadat. Untuk orang Islam ini dibenarkan sekiranya tiada jalan penyelesaian. Bukan sebab kita galakkan, tetapi perkara ini berlaku. Kami juga mendapati faktor kahwin muda juga menjadi antara punca penceraian tinggi," kata Rohani.

Selain itu, faktor campur tangan mertua, ketagihan dadah, curang dan enggan dimadukan juga menyumbang kepada perceraian.

Susulan itu, langkah bagi mengurangkan kadar penceraian mula diambil dengan memperkenalkan pelbagai program, kursus serta kaunseling.

Antaranya kursus praperkahwinan 'Start Smart' diperkenalkan sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

"Selain program 'Start Smart' kita ada sediakan kaunselling untuk anak-anak juga. Selain itu, pengenalan program second honeymoon dan program 'Let's Go Dating' sebab kurang 'dating' sama suami isteri," katanya.

Beliau sebelum itu merasmikan majlis pelancaran Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia 2013 di Kuala Lumpur.

Terdahulu, dalam ucapannya, Rohani berkata tahap kesejahteraan keluarga di negara ini berada pada tahap 7.55 daripada skala 10. Ini menunjukkan banyak lagi usaha perlu dilakukan bagi memperkukuh institusi keluarga.

"Antara cadangan yang perlu ialah meningkatkan taraf hidup keluarga, meningkatkan resiliensi keluarga, mengimbangi tuntutan kerja dan keluarga serta meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan keluarga," katanya.

Justeru, Rohani berkata kerajaan mengisytiharkan November sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia yang disambut setiap tahun sejak 2012.

Beliau menambah, tema sambutan tahun ini ialah 'Jom Utamakan Keluarga' bagi memastikan perspektif keluarga terus diarusperdanakan oleh masyarakat demi kesejahteraan keluarga.
Read More
Pejabat Agama Timur Laut. Powered by Blogger.